Pada 21 November 2019, pihak U.S. Embassy Kuala Lumpur telah bersetuju untuk mengadakan kerjasama dengan Akademi Menara Gading (AMG) Yayasan Al-Sultan Abdullah bagi menjayakan Program English Access Microscholarship (Access) sesi 2020/2022. Program ini berjalan secara serentak dengan AMG dalam tempoh dua tahun. Program Access ini melibatkan 80 orang pelajar miskin, anak yatim dan murid Orang Asli di Negeri Pahang. Peserta dibahagikan kepada dua kumpulan dan setiap kumpulan terdiri daripada 40 orang pelajar. Program Access ini akan dijalankan selama 360 jam dalam tempoh dua tahun yang melibatkan pembelajaran bahasa Inggeris di luar daripada kurikulum dan masa persekolahan yang diadakan di AMG Learning Centre. Pembelajaran bahasa Inggeris ini dilaksanakan di luar masa persekolahan seperti pada hujung minggu dan cuti persekolah. Program ini dikendalikan oleh guru-guru bahasa Inggeris yang dipilih secara khusus bagi menjayakan program ini. Selain itu, Program Access ini akan mengadakan program khidmat komuniti, English Camp dan mobiliti. Program ini akan dilakukan secara konsisten selama dua tahun bagi menjamin keberkesanan dan meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris para peserta.